About me

My Photo
..The Colourful Of Life..
Just call me Yui.. Love kids, cats and chocolate.. Love my family and friends..
View my complete profile
Feeds RSS
Feeds RSS

Sunday 14 August 2016

Walimah Dan Kenduri Kahwin dalam Islam - Ustaz Emran Ahmad (1)




Hukum Mengadakan Kenduri Kahwin
Hukum mengadakan kenduri kahwin adalah sunnah dan sangat dituntut oleh Islam. Sebahagian daripada ahli ilmu dalam kalangan Mazhad Syafie' dan Zahiri berpendapat, mengadakan kenduri kahwin adalah wajib.

Namun, jumhur ulama berpegang, mengadakan kenduri kahwin adalah sunat muakad iaitu termasuk sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan.

Hal ini kerana Rasulullah saw pernah memerintahkan seorang sahabat Baginda yang bernama Abd.Rahman bin Auf r.a bagi mengadakan majlis kenduri kahwin ketika beliau bernikah.

Rasulullah s.a.w menyatakan :

Maksudnya : "Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing."

Amalan ini bahkan berlaku kepada Rasulullah s.a.w sendiri. Ketika menikahi isteri-isteri Baginda, Rasulullah s.a.w turut mengadakan majlis kenduri bagi menjamu para sahabatnya. Antara kenduri yang paling hebat dalam kalangan isteri-isteri Baginda adalah semasa Baginda menikahi Zainab binti Zahsy r.a. Diceritakan oleh sahabat yang bernama Anas bin Malik r.a. bahawa tidak ada kenduri kahwin isteri-isteri Nabi yang melebihi kenduri kahwin isteri Baginda yang bernama Zainab. Baginda mengutuskan beliau bagi mengajak orang ramai datang ke rumah Baginda. Mereka diberi makan roti beserta daging sehingga kenyang.

Al-Imam Ibn Taimiyyah r.a. ketika ditanya tentang hukum kenduri kahwin atau walimah, maka beliau mengatakan :

"Mengadakan kenduri nikah adalah sunnah, menghadirinya adalah diperintahkan (wajib) manakala kenduri arwah pula adala makruh untuk diadakan dan juga menghadirinya. Adapun keduri bersunat atau berkhatan adalah harus. Sesiapa yang ingin menghadirinya maka datanglah dan sesiapa yang tidak mahu maka tidak payah datang."

Ringkasnya hukum mengadakan walimah atau kenduri ini tidaklah mencapai tahap wajib. Ini adalah pendapat jumhur ulama daripada Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan Syafie' seperti yang termuat dalam Kitab Nailul Authar. Hal ini ditegaskan lagi oleh Imam Ibn Amir As-San'ani dalam kitabnya Subulussalam bahawa ia adalah sunat yang dituntut. Sebahagian ulama seperti Imam Syafie' turut mengatakan, tuntutan perintah walimah itu hanya ada dalam hadith Abd.Rahman bin Auf r.a. dan khusus kepadanya sahaja.

Oleh yang demikian, mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan ini perlu dibuat mengikut kemampuan dan kesanggupan pihak pengantin. Jangan sampai dijadikan bebanan atau tekanan sehingga melewat-lewatkan perkahwinan atau terpaksa ditangguhkan perkahwinan. Ini kerana, perintah untuk bernikah itu berada pada kedudukan yang lebih utama dan lebih utama daripada perintah mengadakan kenduri perkahwinan.