About me

My Photo
..The Colourful Of Life..
Just call me Yui.. Love kids, cats and chocolate.. Love my family and friends..
View my complete profile
Feeds RSS
Feeds RSS

Sunday 6 December 2015

Pertunangan Yang Bahagia




Hari-hari berlalu yang dilewati seakan-akan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Ya, hanya beberapa minggu yang lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada.

Benar, aku sudah berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah (pertolongan) Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar di tepi tebing, menunggu saat untuk tergelincir jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyah dan terus memimpinku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang hamba. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalanku juga menggunakan dua kaki, lihatku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Shayhk Abdul Qadir Al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang wanita yang sedang mengembara di bumi Tuhan. Destinasiku kelak juga sama seperti kalian di Negeri Barzakh, yang kekal abadi.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabat yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar yang aku sudah dikhitbah (bertunang) apabila melihat kedua tanganku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diamku bukan membuka pintu-pintu soalan yang terlalu banyak, tetapi diamku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian. Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang, "Warna putih bersih.."

"Alhamdulilah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang baju. Jangan berlebihan." Ibu mengangguk perlahan

Beberapa hari ini, aku menyelak satu persatu helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali untuk aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahu-mahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan Ya Allah..

Sejak pertunangan itu, aku semakin banyak mengulangi al-quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh.

Mudah-mudahan aku tenang. Asy-Syifa' aku adalah al-quran, yang setia menemaniku dalam resah. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rupanya rasa orang-orang yang mendahului.

"Kak, siapa tunang akak? mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"In shaa Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana pada hari pernikahan nanti, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum lagi untuk sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan adalah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandaikan aku sedang bahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabat juga merasa kehilanganku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan Asy-Syifa' aku, al-quran. Ini tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafasku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?" Aku tiada jawapan khusus.

"In shaa Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu.." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Insyirah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, diakan ana banyak-banyak!" Itu sahaja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahanku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"In shaa Allah, kalian pasti akan tahu bila sampai waktunya nanti.."

 Rahsiaku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu untuk menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku, dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa perlu menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya sedaya upaya aku siapkan, baju menikahnya dan aku katakan sekali lagi kepada ibu..

"Usah berlebihan ya.." Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Siti, jom makan!" Aku tersenyum lagi. Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa." Sahabat juga semakin galak mengusik.

"Wah, Siti diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat. Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam rumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

* * * * * * *

"Tenangnya. Subhanallah. Allahuakhbar."

"Ya Allah, tenangnya.."

"Moga Allah memberkatinya.."

Allah, itu suara sahabat-sahabatku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabat ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput mereka sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbahku.

Dalam sedar tidak sedar, hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahanku sentiasa ada suara sayu yang menangis sayu di hening malam,dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkanku dengan Engkau. Yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hambaMu yang tidak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."

Akhirnya, Insyirah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian.

"Siti bertunang dengan siapa, makcik?"

Ibu tenang menjawab,

"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Siti hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakhbar." Terduduk Insyirah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama."

Ibu angguk, tersenyum lembut.

"Ini nak, bukunya."

Senaskhah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patutlah Siti selalu menangis, Insyirah tak tahu makcik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Siti mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan."

 Insyirah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Siti yang diberikan oleh ibu. Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku dirisik oleh Malaikat Maut dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan Maut. Aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diriku kepada Allah.

Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari Allah yang perlu dipulangkan apabila Allah meminta. Ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) sahaja malah akhlaknya sekali.

Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu....

p/s : Petikan diambil dari buku motivasi 'Kun Anta'.